Saturday 19 May 2012

MASJID AL-BUKHARI ALOR MALAI

Masjid Al-Bukhari terletak di Jalan Langgar, Mukim Alor Malai, Alor Setar. Pembinaan masjid ini dibiayai oleh jutawan terkenal, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari. Masjid ini dibina berserta dengan sebuah kompleks yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti hospital, tempat penginapan pelancong, ruang perniagaan dan lain-lain lagi. Di samping itu, di sini terdapat juga asrama anak yatim dan rumah warga tua. Sekolah yang berfungsi sebagai tempat pendidikan dan pembelajaran turut disediakan. Prasarana sebegini dianggap sebagai salah satu cara memakmur dan menggiatkan aktiviti masjid supaya tidak dipandang sepi.

Keindahan Masjid Al-Bukhari bukan sahaja dari sudut luaran, tetapi dalamannya turut diberi perhatian oleh perekanya. Pembinaan masjid ini berdasarkan reka bentuk masjid seperti yang terdapat di Turki dan Iran. Arkitek yang bertanggungjawab melahirkan reka bentuk masjid ini ialah RDA-Harris Architects Sdn Bhd.
Terdapat tujuh buah kubah yang dibina pada masjid ini yang direka bentuk menyerupai gasing. Kubah-kubah ini berwarna biru dan dihiasi dengan lakaran-lakaran awan larat yang bermotifkan tumbuhan menjalar. Pada keliling ukur lilit kubah utama dihiasi tulisan khat jenis Thuluth. Reka bentuk pintu gerbang pada anjung masjid yang dibentuk berlapis-lapis dilihat seakan-akan menggamit siapa sahaja untuk beribadah di dalamnya. Pintu gerbang di dalam masjid yang dibentuk sebanyak lima lapisan ini melambangkan lima rukun Islam.

No comments:

Post a Comment